31 Jul 2012

Kuih Jongkong Mangkuk


Assalammualaikum semua
Alhamdulillah dah 11 hari dah berpuasa...hari ni masuk hari ke 12. Sekejap jer masa berjalan sekarang ni. Juadah berbuka hari ke 11 puasa semalam saya buat kuih Jongkong. Agak lain dari yang lain sikit kuih ni dan jarang-jarang kita jumpa. Saya suka mencuba kuih yang belum pernah dicuba lagi. So..bila nampak Mas sharekan resepinya, hati memang rasa mcm nak mencuba jer. 

Nampak dari jauh mcm tepung pelita tapi ada gula melaka di lapisan bawahnya..agak menarik dan rasanya sangat sedap.Kalau bubuh dalam daun pisang lagi sedap lagi rasanya ni. Tapi buat versi org merantau ni guna mangkuk jer la yer.

Oklah bagi sesiapa nak mencuba buat bolehlah mencuba. Terima kasih Pada tuan empunya resepi asal kak Fida, Mashitah Mas dan semua yang telah berkongsi resepi. Izinkan saya sharekan disini pula.


Kuih Jongkong Mangkuk

Bahan :
 24 mangkuk plastik 100ml 

Untuk Lapisan Bawah :
 gula melaka secukupnya dihiris2 halus atau gula merah

Adunan Hijau :
1 cawan tepung beras
2 sudu kecil tepung sagu - Mas guna tepung jagung (nieza pun guna tepung jagung)
5 cawan santan cair = ( 100 ml KARA + air )
1 sudu kecil pes pandan
1 sudu kecil air kapur

Adunan Kuning :
1 cawan tepung beras
2 sudu kecil tepung sagu - Mas guna tepung jagung (nieza pun guna tepung jagung)
5 cawan santan pekat = ( 400ml KARA + air )
2 sudu kecil garam
sedikit pewarna kuning


Cara membuat :
 1. Letakkan 1/2 sudu besar hirisan gula melaka @ gula merah kedalam mangkuk2 kecil dan ratakan.Ketepikan.
2. Campur kesemua bahan hijau,kacau sebati, tapis, kemudian masukkan kedalam periuk dan masak hingga hampir pekat dengan api yg kecil..sentiasa kacau hingga adunan pekat dan likat serta licin atau berkilat dan boleh tutup api. Memang agak letih sikit nak mengacau sebab mengambil masa lama.
3. Tuang adunan hijau tadi ke dalam mangkuk yang berisi hirisan gula melaka dan kukus hingga gula mencair dalam 8 minit.
4. Sementara itu, campur pula adunan kuning,tapis dan masak hingga hampir pekat, sama seperti adunan hijau tadi dan matikan api.
5. Tuang adunan kuning ke atas lapisan hijau dan kukus lagi hingga kuih masak lebih kurang 15 min.
Keluarkan kuih jongkong dan hidangkan suam atau dingin.


30 Jul 2012

Talam Pisang Pandan

Assalammualaikum semua
Nak sharekan kuih yang saya buat hari sabtu lepas ni. Baru berkesempatan nak sharekan kat sini. Kuih talam ni buat untuk dibawa ke majlis berbuka puasa di pejabat kedutaan Indonesia kat sini. Kebetulan setiap hari sabtu di pejabat kedutaan Indonesia ada buat ceramah agama, majlis berbuka dan sambung dengan solat terawih.

Alhamdulillah seronok dapat berkumpul bersama saudara Islam disini. Malaysian kat sini tak ramai sangat orang Islam so...tak dapatlah nak buat solat terawih bersama Malaysian disini selalu. Cuma boleh diadakan sekali jer la nanti. Hari biasa kami solat di masjid yang berdekatan dengan rumah masing-masing saja.

Oklah ceter n3 hari ni pula, resepi kuih talam pisang ni saya ambil kat dapur kak Yatie. Saja saya lebihkan sikit adunan pisang tu sebab nak abiskan stok pisang yang dah masak tu. Walaupun agak lembik sikit tapi kuih ni sangat sedap...terima kasih pada kak Yatie kerana berkongsi resepi kuih ni...saya sharekan kat sini pula yer:D


Sumber: Kak Yatie
Bahan Utk Lapisan Bawah-loyang bulat 9 inci
  • 3 1/2 cawan santan cair
  • 1 1/4 cawan tepung beras.
  • 1/2 cawan tepung gandum.
  • 1/2 cawan gula pasir.
  • Secubit garam.
  • 1 cawan pisang lenyek. (Nieza lebihkan 1/2cawan lagi)
  • sedikit pewarna kuning

Cara-caranya:

  1. Bancuhkan semua bahan-bahan di atas kecuali pisang.Tapiskan.
  2. Masak dengan menggunakan api yang perlahan.Bila hampir pekat masukkan pisang dan kacau rata.Masak hingga keluar wap.
  3. Alaskan loyang dengan plastik dan sapukan sedikit minyak, tuangkan adunan kedalam loyang.Adunan ni agak likat jadi ratakan dengan senduk plastik agar sekata ketebalannya.
  4. Kukus hingga masak (dlm 15 minit) dan cakar-cakar dengan garfu pada permukaannya.Ketepikan. Sekiranya ada sedikit air di permukaan, sengetkan loyang dan buangkan air tu guna sudu je/ lap guna tisu dapur.


  • Bahan Utk Lapisan Atas:
  • 2 cawan santan pekat
  • 1 cawan jus pandan (3 helai daun pandan dan dikisar bersama air, tapiskan)
  • 3/4 cawan tepung gandum.
  • 1/4 cawan tepung jagung.
  • 1/4 cawan gula pasir.
  • secubit garam.
  • Sedikit pewarna hijau
Cara-caranya:

  1. Satukan semua bahan-bahan di atas,Tapiskan.
  2. Masak dengan menggunakan api yang perlahan,bila naik wap tuangkan adunan keatas lapisan bawah tadi. Masa tuang adunan, pastikan tiada takungan air di permukaannya.
  3. Ratakan supaya mendapat ketebalan yang sekata.Kukus hingga masak (dlm 20 minit)
  4. Apabila masak buka tutup pengukus dan biarkan atas api selama 10-15 minit agar wap di atas kuih kering dan petua untuk mengelakkan kuih talam cepat basi.Selamat mencuba ya.

  • kuih talam pisang yang dipotong ni la yang saya bawakan ke majlis berbuka puasa hari tu.

29 Jul 2012

PUDING CENDOL GULA MELAKA


Assalammualaikum dan salam ramadhan
Alhamdulillah hari ni dah masuk hari ke10 kami berpuasa disini. Semakin hari masa semakin berganjak. Setiap hari masa berbuka akan berkurang 2-3minit awal dari masa kami berbuka diawal waktu puasa hari tu. So..waktu berpuasa selama 20jam juga akan menurun sedikit tapi sama jer la rasanya masib di waktu yang panjang lagi.

Ada yang bertanya mcm mana solat terawih pada waktu yang singkat ni. Jawapannya.. kami kat sini solat mcm biasa berjemaah di masjid juga tapi hanya dibuat 8rakaat dan campur witir saja. Solat pun kena cepat. Memang saya agak hairan juga bila pertama kali join solat terawih kat sini bila Imam membaca dengan cepat dlm solatnya. Biasanya abis solat terawih dan saya sampai umah dekat 12.45mlm dah. Manakala subuh pula dekat jam 3pagi dah sekrng ni so..sempatlah prepare msk bersahur pula. gitulah cabarannya.

Oklah sebelum beradu nak sharekan puding cendol yang saya buat juadah berbuka pada hari ke8 yang lepas. Agak kurang jelas sikit warna cendol tu sebab saya simpan dlm air dan maybelah sebabkan tu la pudar sikit. Nak abiskan stok cendol hari tu yang buat puding ni. Resepi ambil kat fb tapi saya buat 1/2 adunan saja dr resepi asal. Terima ksih pada penyumbang resepinya juga. izinkan saya berkongsi disini pula.


PUDING CENDOL GULA MELAKA
sumber: fb Maamon hj mohamad
Bahan untuk lapisan bawah:
120 gm agar-agar yang telah di rendam 
Seliter air
200 gm gula Melaka
Bahan-bahan lapisan cendol:
120 gm agar-agar yang telah di rendam
750 ml air
250 ml santan
120 gm cendol
Sesudu teh garam halus



 Cara-cara memasaknya:
Untuk membuat lapisan bawah: masak agar-agar bersama air dan gula Melaka sehingga larut.
Setelah larut tuang kedalam bekas atau acuan pilihan dan sejukkan.
Untuk membuat lapisan cendol: didihkan air bersama agar-agar sehingga larut.
Kemudian masukkan santan, gara dan cendol, kacau rata.
Setelah siap dikacau rata, tuangkan di atas lapisan bawah yang telah disejukkan tadi.
Sedia untuk dinikmati setelah disimpan didalam peti sejuk.


27 Jul 2012

TEPUNG PELITA


Assalammualaikum
Selawat dan salam di hari Jumaat penuh barakah. Syukur alhamdulillah hari ni dah hari ke-8 kami berpuasa di bumi Finland ni. Terasa cepat sangat masa berjalan dan tak sedar nanti ramadhan akan tinggalkan kita. Terasa rugi pulak kalau kita tidak merebut peluang untuk beribadat sepenuhnya dibulan yang mulia ini kerana ganjaran pahalanya terlalu banyak. Bukan setakat berpuasa untuk menahan diri dari lapar dan dahaga tapi adalah untuk menunaikan ibadah yang yang lain juga.

Terima kasih pada yang sudi singgah ke sini..mohon maaf saya belum berkesempatan nak berkunjung balas lagi. Semalam satu hari saya kesibukan memasak tempahan makanan untuk jamuan lunch di rumah TYT Duta. Dari jam seawal 2pagi selepas subuh saya dah mulakan operasi memasak sehinggalah jam 5pagi baru selesai. Tido sekejap dan jam 9pagi dah kerumah duta untuk sambung bantu memasak dan hidangkan makanan disana pula sehinggala selesai lunch jam 3ptng tu baru saya balik. Lunch tu dibuat hanya untuk yang bukan muslim saja. Bila balik memang keletihan sgt tapi sayang pula nak tinggal solat terawih berjemaah saya pergi jugalah.

Oklah berbalik pada n3 hari ni nak sharekan kuih yang saya buat 2 hari lepas. Baru berkesempatan nak sharekan kat sini. Ramai juga yang buat kuih tepung pelita ni. Resepi ni intai kat daput Izah Daut. Saya buat 1/2 adunan saja tu pun dah banyak untuk 2 orang mkn. Tak nak la membazir buat banyak-banyak.. tu sebab kalau masak kena buat utk 1/2 adunan saja. Kalau ada jiran muslim bolehla bagikan tapi masing-masing dok jauh pula. Kuih versi org merantau gini jer la bubuh dalam bekas sebab tak ada daun pandan. Kalau bubuh dalam daun pandan lagi sedap la kan harum jer baunya. Terima kasih pada tuan empunya resepi asal dan semua yang telah berkongsi resepi ni. Saya kongsikan disini pula.


Resepi Kuih Tepung Pelita
sumber resepi: kak Yani @myRIzah Daut
Bahan-bahan ( 12 cups- bergantung pd saiz bekas )
1 cawan tepung beras
1 cawan gula
5 cawan air
4 sudu besar tepung beras(ratakan)
1 biji kelapa diperah jadi 4 cawan santan
4 helai daun pandan dimesin dgn sedikit air
sedikit kapur dan sedikit garam

Cara-cara
Tepung, air, gula, air daun pandan dan air kapur dibancuh hingga sebati.
Perah santan, masukkan tepung yg 4 sudu tadi dan garam. Kacau sehingga sebati dan ketepikan.
Masakkan tepung yg diadun dan kacau hingga masak dan berkilat.
Bila dah masak masukkan dalam acuan yang disukai. Kalau daun pisang lagi sedap.
Masak santan yg diadun tadi dan kacau sehingga pekat.
Angkat santan dan curah ke atas tepung yg di dalam acuan tadi.
Sejukkan
NOTA dari Izah: ikut sedikit tips daari joayee untuk membuat kuih ni  basah2 seperti kuih dibeli. Dalam bancuhan tepung beras lapisan pandan tu, saya taruk 2 sb tepung ubi. Dan semasa hendak meletakkan lapisan santan putih ke dlam bekas, sudukan dulu sedikit gula ke atas lapisn hijau kemudian baru dilapiskan lapisan putih. Saya taruk 1/2 sk gula. 

25 Jul 2012

Cendol Gula Merah dan Homemade Cendol

Assalammualaikum semua
Orang kat Malaysia dah berbuka yer...kami kat sini lambat lagi dalam 8 jam lebih lagi nak masuk waktu berbuka. Bagi yang bertanya waktu berbuka sini...memang waktu berpuasanya sangat panjang. Kami ada cuma 4 jam saja masa untuk makan. Memang dugaan buat og islam disini sebab bulan puasa jatuh pada musim panas. Tapi alhamdulillah cuaca pun ok tak panas sangat semuanya berjalan lancar jer. Malam semalam saya tak bersahur makan nasi pun cuma makan kuih masa berbuka jer tapi boleh juga bertahan. Kekadang memang tak ada selera nak makan bersahur sebab perut masih kenyang masa berbuka. Dalam masa 2-3jam mana boleh nak isi penuhkan. InsyaAllah ada rahmat disebalikNya tu.

Oklah nak sharekan homemade cendol yang saya buat 2 hari lepas ni. Lama betul nak buat n3 ni tapi asyik tertangguh jer. Sebelum bz kat dapur jap lagi saya sharekan dulula resepinya. Cendol ni pun memang dah lama saya tak buat rasanya buat last 2 thn lepas kot. Bila berpuasa ni teringat lak kat Malaysia yang ada jual air cendol ni kan. So...itulah yang buat jugalah dan ada bagikan pada kawan-kawan kat sini juga. Rezeki yang ada eloklah kita kongsikan bersama.

Resepi ni pernah tgk kat blog Kak Rose dulu yang asalnya resepi kak ena-zarina . Kedua-dua resepi yang kak Ena kongsikan dibawah telah saya cuba dan saya sangat berpuas hati dengan resepi menggunakan tepung jagung berbanding dengan tepung beras. Maybe tepung beras sini tak sama mcm tepung beras kat Malaysia kot.  Bagi sesiapa nak mencuba bolehlah mencuba. Terima kasih pada tuan empunya resepi dan kak Rose yang berkongsi resepi cendol ni.


Sumber: Kak ena-zarina 
Resepi Cendol Tepung Jagung 

Bahan-Bahan: 
  • 1 cawan tepung Jagung 
  • 3 cawan air
  • sedikit pewarna merah (apa-apa warna kesukaan anda) 

Cara Membuatnya : 
  1. Sediakan bekas yang mengandungi air sejuk / air paip. Ketepikan. 
  2. Masukkan semua bahan-bahan dia atas ke dalam periuk non-stik. Kacau supaya semuanya sebati.
  3. Kemudian masak dengan api yang sederhana dan sentiasa di kacau supaya tidak berketul.
  4. Kacau sehingga masak dan adunan berkilat.
  5. Ketika masih panas masukkan adunan ke dalam acuan cendol dan tekan ke dalam bekas yang berisi air sejuk tadi.
  6. Proses menekan cendol hendaklah dilakukan dengan pantas. Adunan yang sejuk akan menyukarkan proses menekan cendol.
  7. Boleh di simpan di dalam peti sejuk bersama dengan airnya sekali. Sedap di makan bersama santan atau fresh milk dan air gula, di buat puding atau sebagai bahan campuran di dalam Air Batu Campur.

NOTE : 
  • Cendol Tepung Jagung lebih pejal dan tidak mudah patah atau hancur. Rasanya juga sedap.
  • Lebih sedap dan harum jika menggunakan air daun pandan.
  • Tidak perlu masukkan air kapur jika menggunakan tepung jagung. 


Resepi Cendol Tepung Beras 
Bahan-Bahan: 
1 cawan tepung beras
3 cawan air
1 sudu kecil air kapur 
sedikit pewarna hijau
sedikit perisa pandan 

  • Cara Membuatnya : 
    1. Sediakan bekas yang mengandungi air sejuk / air paip. Ketepikan. 
    2. Masukkan semua bahan-bahan dia atas ke dalam periuk non-stik. Kacau supaya semuanya sebati.
    3. Kemudian masak dengan api yang sederhana dan sentiasa di kacau supaya tidak berketul.
    4. Kacau sehingga masak dan adunan berkilat.
    5. Ketika masih panas masukkan adunan ke dalam acuan cendol dan tekan ke dalam bekas yang berisi air sejuk tadi.
    6. Proses menekan cendol hendaklah dilakukan dengan pantas. Adunan yang sejuk akan menyukarkan proses menekan cendol.
    7. Boleh di simpan di dalam peti sejuk bersama dengan airnya sekali. Sedap di makan bersama santan atau fresh milk dan air gula, di buat puding atau sebagai bahan campuran di dalam Air Batu Campur.

    NOTE : 
    • Cendol Tepung Beras teksturnya lebih lembik dan mudah hancur tetapi rasanya sedap.
    • Lebih sedap dan harum jika menggunakan air daun pandan.
  • Jom tengok cara yang saya buat pula..harap dapat membantu bagi mereka yang pertama kali nak mencuba buat cendol ni.
1.  Masukkan semua bahan-bahan diatas ke dalam periuk non-stik. Kacau supaya semuanya sebati.
2. Perlahankan api dan kacau sehingga masak dan adunan berkilat.
 3. Sediakan bekas yang mengandungi ais ketul sejuk / air paip. Ketepikan. 
 4. Ketika masih panas masukkan adunan ke dalam acuan cendol dan tekan ke dalam bekas yang berisi air sejuk tadi.

 5. Proses menekan cendol hendaklah dilakukan dengan pantas. Adunan yang sejuk akan menyukarkan proses menekan cendol.

ok dah siap!...selamat mencuba:D
 Ni ler rupa acuan yang saya gunakan untuk membuat cendol ni. Beli kat supermarket kat Finland ni jer. lama dah belinya dari thn lepas lagi tapi baru nak rasmikan. Sebelum ni buat cendol tekan dgn senduk biasa yang berlubang tu jer bila tepandang acuan ni saya terus terfikir boleh guna utk buat cendol. Tak pasti acuan ni dijual utk buat apa. Kalau tgk rupanya mcm acuan maruku jer. nanti nak kena cuba buat maruku lak guna acuan ni..boleh ke tak yer..:D

 Bagi kawan-kawan Finland yang bertanya kat mana saya beli acuan ni...boleh cari kat supermarket Prisma. Tak pasti kat supermarket lain ada jual ke tak.

Bahagian dalam yang sedia ada lubang hanya tekan saja setelah dimasukkan adunan tepung dalam tu. memang mudah sangat guna acuan ni. Kalau tak ada tu boleh jer guna mana-mana acuan pun..selamat mencuba:D

Murtabak Daging for Iftar


Assalammualaikum dan salam ramadhan
Menu iftar hari ke 5 semalam saya buat murtabak daging. Dari semalam nak buat tapi tak terbuat juga..dah keluarkan doh yang siap uli ni tapi inti lak malas nak buat pastu simpankan balik. Hari ni tak leh nak tangguh lagi kena buat jugalah.

Bulan puasa ni masa saya agak terhad sikit utk bw dan update pun terpaksa terkejar-kejar...kira mana yang sempat lah yer. Mana taknya lepas jer berbuka jam 10.15malam terus solat maghrib, lepas maghrib terus ke masjid untuk terawih sampai jam 12.40am baru balik umah sebab isyak sini masuk lewat so..terawih pun start lewat jam 11.30malam. Tu pun imam buat 8 rakaat jer sebab masa puasa ni agak panjang mungkin nak kasi rehat sama. Balik solat terawih terus siap utk bersahur pula sebab subuh nanti jam 2.46am. Biasanya tido pun kekadang kul 3pagi. Memang agak letih juga bila terkejar masa gini tapi kalau nak solat kat umah rasa mcm tak seronok pula kalau berjemaah lagi bagus kan. Lagi pun masjid yang kami pergi tu masjid org tatar yang asal dari Russia..makcikx2 muslim kat sana pun baik..seronok lak rasa bila solat kat sana. Itulah serba sikit pengalaman masa ramadhan kat sini. Sekadar berkongsi cerita saja.

Oklah berbalik pada n3 hari ni...murtabak ni dah banyak kali dah buat sejak dok sinilah sebab mr.hubby pun suka sangat mkn murtabak. Saya pun sama gak...kalau bulan puasa kat Msia memang wajib la ada murtabak untuk berbuka. Tapi bila dok sini kenala merajinkan diri buat juga. ok jom semak resepi kat bawah.


Source: http://Nurniezza.blogspot.com
Kulit murtabak
2 cawan tepung gandum
1 biji telur
1/2 sudu besar susu pekat manis
1 sudu besar marjerin
air+ garam ( agak-agak dlm 1 cwn)

 Bahan untuk inti murtabak
200g daging kisar
2 bawang besar-potong dadu
3 bawang putih-potong dadu
4 sb rempah kari
garam+gula secukup rasa
2 bawang-potong nipis2
4 biji telur-atau secukupnya
2 biji kentang dipotong dadu
1/2 inci halia
sedikit air asam jawa

Cara-cara menyediakan kulit murtabak
1. Cara utk buat kulit murtabak sama macam buat roti canai.
2. Campur semua bahan untuk kulit murtabak dan uli hingga tidak melekat pada tangan, bila curah air yang di campur garam masukkan sedikit demi sedikit.
3. Uli hingga doh hingga lembut dan licin. Biarkan dlm 10 minit dan uli lagi.
4. Bulat-bulatkan spt sebesar bola tenis....dan sapu sedikit marjerin ataupun minyak supaya doh tak melekat antara satu sama lain, perap lah lebih kurang 2, 3 jam, nak lagi sedap biarkan semalaman.(saya perap semalaman)

Cara-cara menyediakan inti
1. bawang kecil, bawang putih dan halia dikisar.
2. kentang direbus. potong dadu ataupun lenyekkan ia setelah empuk.
3. Panaskan minyak dalam kuali.... setelah itu masukkan bahan yang telah dikisar. setelah kekuningan masukkan rempah kari daging yang telah dicampurkan dengan sedikit air.
4. tunggu sehingga rempah kari masak dan masukkan air asam jawa.
5. masukkan daging dan kentang yang telah dilenyekkan tadi.
6. masukkan garam secukup rasa. masakkan sehingga inti kering.


Cara-cara mencanai
1. Canaikan setiap bebola ini nipis2....cara canai ni saya buat mcm mencanai roti canai....saya gunakan talam dan tarikkan doh tu ke tepi dan jgnlah terlalu nipis...boleh rujuk disini. Kemudian campurkan inti dengan telur supaya inti itu tidak terburai apabila makan nanti.
2. Bubuhkan inti di tengah-tengahnya. kemudian lipat dan goreng dalam kuali panas dgn api yg perlahan sehingga kekuning-kuningan.
3. sedia dihidang bersama kuah bawang merah.

24 Jul 2012

Kuih Cara Manis


Assalammualaikum buat semua
Alhamdulillah dah masuk hari ke-5 dah kami berpuasa di sini. Syukur dengan rezeki yang ada dapatlah kita merasa juadah untuk berbuka. Walaupun juadah diperantauan ni ala kadar saja tapi itulah rezeki kita. Kalau nak makan kenalah usahakan masak sendiri dan merajinkan diri masuk dapur. Tapi itulah pengalaman kan kalau dok Malaysia kalau teringin nak makan kuih tu boleh beli jer la kan tapi kami disini tak ada jual.

So...semalam saya pun merajinkan diri jugalah buat kuih cara ni...sebelum ni dah pernah buat banyak kali dah kuih ni tapi kali ni saya cuba resepi dari blog CMG pula. Ada ternampak Kak Shahriah tayang semalam menggunakan resepi yang sama. Memang sedapla kuih ni dan nak buatnya pun mudah sangat. Terima kasih pada tuan empunya resepi asal dan semua yang telah berkongsi resepi ni.Saya kongsikan disini pula yer:D


Sumber: CMG,  Kak Nannie
Kuih Cara Manis Resepi Warisan
Bahan-bahannya:

2 cawan tepung gandum
3 cawan santan kelapa (nak sedap guna yang fresh)
2 biji telur
3 helai daun pandan
Beberapa titik pewarna hijau
Gula pasir secukupnya, sebagai inti
Garam secukup rasa (bagi rasa lemak2 masin)
Sedikit minyak masak, untuk lenser acuan



Cara Membuat:
  1. Daun pandan dicuci, potong kecil dan kisar bersama santan, kemudian tapis. Satukan bersama tepung gandum, pewarna hijau, telur dan kacau rata dengan whisk hingga semua sebati, tambah garam secukup rasa. Kacau dan tapis adunan tadi. Ketepikan sebentar.
  2. Panaskan acuan kuih cara (acuan kuih baulu) atas dapur gas, bila panas kecilkan api pada tahap minima. Lenser sedikit minyak masak pada setiap ruang acuan (guna daun pandan yang dilipat, diikat dan diracik hujungnya).
  3. Isi adunan tadi dalam bekas bermuncung (kole atau teko) tuang dalam setiap acuan tadi hingga hampir penuh. Letakkan sedikit gula pasir pada setiap kuih (anggaran 1/3 camca teh). Tutup permukaannya acuan dengan tudung periuk. Masak hingga kueh menjadi pucat dan tidak melekat bila disentuh.
  4. Berhati2 keluarkan kuih dari acuan dan sejukkan. Oles sedikit minyak setiap kali memasak kuih yang baru. Hidangkan untuk minum petang.... Selamat mencuba.


21 Jul 2012

Apam Puteri Ayu 2


Assalammualaikum dan salam ramadhan buat semua muslimin dan muslimat.
Juadah berbuka 2 ramadhan hari ni saya masak bubur lambuk dan kuih apam puteri ayu jer. Alhamdulillah menu simple orang merantau macam ni la tak semeriah macam kat Malaysia tapi syukur diatas kurniaanNya. Kalau dok sini nak makan kuih kena lah buat sendiri sebab tak ada pasar ramadhan mcm kat Malaysia tu kan. Saya dan suami memang dah biasa berbuka dengan kuih muih masa bersahur jer kami makan nasi. Nak tak nak kena jugalah buat kuih. 

So...hari ni nak sharekan resepi kuih apam ni pula. Sebelum ni saya pernah juga buat tapi menggunakan resepi yang lain. Resepi kali ni saya ambil kat dapur Kak Liza @ intai dapur. Terima kasih pada kak Liza kerana berkongsi resepi dan izinkan saya berkongsi disini pula.


Apam ni memang gebus dan sedap...dah lama tak makan sedap jer rasanya. Lepas solat isyak jam 11.30mlm dan terawih nanti dah nak kena makan sahur dah sebab subuh kat sini jam 2.30pagi. Memang terasa kenyang untuk makan sahur tapi nak kena makan jugalah untuk mengalas perut kosong yang panjang untuk berpuasa keesokan harinya pula. Minta diberikan kesihatan yang baik selalu untuk beribadah kepadaNya..insyaAllah.


RESEPI APAM PUTERI AYU
sumber: Kak Liza @ intai dapur
Bahan-bahan
     A
2 biji telur*
1 cwn gula*
1/2 s/mkn ovalette*
1/2 s/teh esen vanila
1 cwn pati santan / fresh milk 
2 cwn tepung naik sendiri


Cara membuat:
1. Bahan-bahan bertanda * dipukul hingga kembang. 
2. Masukkan esen vanila dan santan / fresh milk.
3. Gaul sebati. Masukkan tepung dan pewarna hijau yg dikehendaki (boleh campur air pandan bersama santan)..Masukkan adunan tepung kedalam bekas berisi pandan yang dipukul tadi.
4. Kemudian kukus selama 10 - 15 minit. sedia untuk dihidang.


Bahan B
Kelapa parut
Garam
Tepung ubi



Caranya:
Semua bahan  ni agak- agak jer..satukan semua dan padatkan kedalam acuan seri ayu yg telah disapu minyak. kemudian letakkan adunan tadi kedalamnya dan barulah dikukus.





Agar-agar kelapa pandan

Assalammualaikum semua
Syukur alhamdulillah selesai sudah berbuka puasa 1 ramadhan selama 20 jam hari ni. Cabaran berpuasa yang panjang di Finland ni berjaya diharungi dengan juadah yang simple saja. Biasanya  kalau berbuka puasa saya jarang ambil makanan berat sebab nanti sahur dah kenyang tak boleh makan lagi.

 Mr.hubby pun sama berbuka puasa dengan kurma, mee bandung dan agar-agar sajalah hari ni. Nanti masa sahur baru makan nasi. Memang terasa kenyang juga kalau nak makan lagi sebab jarak masa berbuka puasa dengan waktu sahur yang dekat iaitu maghrib jam 10.20malam dan imsak 2.24pagi. Tapi kena makan juga utk alaskan perut sikit.

Oklah resepi agar-agar ni saya ambil dari dapur CMG@Tiffinbiru. Terima kasih CMG dan pernah tgk Kak Nor@SG juga pernah cuba buat agar-agar ni . Saya simpankan jugalah resepi olahan kak Nor untuk mudahkan saya buat rujukan kemudian hari nanti. :D


AGAR-AGAR KELAPA PANDAN
resip asal : CMG@Tiffinbiru

Bahan-bahannya:
5 gram serbuk agar2 
60 gram isi kelapa muda
500 ml air kelapa muda
50 gram gula atau secukup rasa
1 helai daun pandan, simpul
3/4 camca teh pandan pes @ pewarna hijau


Cara membuat:
1. Satukan serbuk agar2, gula, daun pandan dan air kelapa muda, kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga mendidih, kacau selalu. 
2. Sementara itu kelapa muda dihiris halus memanjang dan bahagi kepada 4 bahagian sama banyak.
3. Keluarkan daun pandan dari agar2 tadi, bahagi kepada dua (250ml setiap satu). Satu bahagian biar warna asal dan satu lagi letak pes pandan atau pewarna hijau, kacau rata.
4. Sediakan bekas agar, letak 1 bahagian kelapa muda dalam bekas agar2. Tuang 1/4 bahagian warna hijau. Biar ia sedikit mengeras, toreh2kan permukaannya dengan pisau dan tuang 1/4 bahagian yang tanpa warna, biar mengeras dan toreh2 permukaanya. 
5. Tabur 1 bahagian lagi kelapa muda dan tuang warna hijau, dan lapisan terakhir warna putih. 
6. Lakukan kaedah sama untuk satu bahagian lagi . Akan dapat 4 lapisan, hijau ada hirisan kelapa + putih jernih + hijau ada hirisan kelapa + putih jernih..
7. Biar mengeras sedikit dan simpan dalam peti sejuk hingga betul2 keras. Keluarkan dari acuan dan boleh hidangkan sebagai pencuci mulut. Sedap dimakan sejuk.

* Nieza tak buat kaedah melapis mcm CMG cuma tuangkan semua sekali jer.


Bagi sesiapa yang tak ada kelapa boleh gantikan dengan nata dcoco seperti resepi dibawah. Resepi dibawah ni saya ambil dari dapur kak Nor @SG...minta izin simpan  dan kongsikan kat sini yer kak Nor.

AGAR-AGAR NATA D'COCO
resipi olahan: K.Nor@SecubitGaram
Bahan:
10gm serbuk agar2
1200ml air ( air biasa + jus nata d'coco)
gula secukupnya (sbb dah ada rasa manis dr jus nata, jadi kena ikut citarasa masing2)
nata d'coco secukupnya
1 helai daun pandan
sedikit paste pandan dan pewarna hijau

Cara2:
Masak air (air biasa + jus nata d'coco), serbuk agar2, gula dan daun pandan hingga mendidih.
Masukkan paste pandan dan pewarna dan kacau hingga sebati.
Masukkan nata dan biarkan sebentar barulah dipadamkan api.
Basahkan acuan/mould yg akan digunakan.
Tuang adunan agar2 kedalam bekas dan biarkan sejuk.
Bila agar2 dah hilang panasnya barulah dimasukkan ke dalam peti ais.
Hidangkan bila agar2 dah betul2 sejuk.

19 Jul 2012

Selamat Menyambut Ramadhan 1433H


Assalammualaikum wbt
Selawat dan salam ...Syukur alhamdulillah kerana diberikan kesempatan lagi bertemu bulan Ramadhan yang mulia ini. Kami di Finland ni, akan mula berpuasa pada esok hari 20hb Julai 2012 bersamaan dengan hari Jumaat yang mana tarikhnya awal sehari dari Malaysia. 

Bersempena di bulan yang baik penuh barakah ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa buat semua rakan-rakan blogger dan semua pengunjung blog our journey begins ni.  Mohon maaf sebab kebelakangan ini saya jarang dapat bw dan singgah ke blog kawan-kawan semua tapi ingatan mesra tetap berkekalan selamanya.

Tahun ni, kami sambut kedatangan ramadhan dengan masa berpuasa yang agak panjang yang mana waktu imsak disini pada 1 Ramadhan jam 2.24pagi dan waktu maghrib pula pada jam 10.23malam. Walaupun puasa pada tahun ni merupakan tahun yang agak mencabar untuk kami disini  berpuasa kerana bulan ramadhan tahun ini jatuh pada musim panas tapi ini bukanlah menjadi halangannya. Semoga  sentiasa diberikan kesabaran dan ketabahan dalam melalui cabaran dan dugaan untuk menjalani ibadah puasa disini..InsyaAllah.

Jika ada kesalahan dan khilaf  baik yang sengaja ataupun tidak sengaja saya mohon maaf. semoga dengan kehadiran bulan yang mulia ini kita semua mendapat rahmat dan keberkatan dariNya...amin.

Be Our Guest And Sign This Guestbook...TQVM

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

My Blog Anniversary Day

Daisypath Anniversary tickers

Our Wedding Anniversary Day

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers